Wednesday, April 25, 2012

DiGarhayu FELDAKU



FELDA atau dalam bahasa panjangnya Federal Land Development Authority merupakan satu rancangan penempatan jangka masa panjang yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula pada tahun 1960-an. Sebelum ni, masyarakat FELDA mengenali nama FELDA dengan nama LKTP atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. LKTP juga disebut dengan secara nakal oleh para peneroka Felda terutama dikawasan Felda tempatku dengan  istilah Langkah Kerajaan Tipu Peneroka apabila pihak pengurusan Felda  terkhilaf dalam menguruskan kebajikan para peneroka. Walau apapun gelaran yang diberi, peranan dan jasa Felda tidak boleh kita nafikan dan nyahkan begitu sahaja ibarat kacang lupakan kulit ataupun sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi. FELDA ibarat kapal yang membawa semakin banyak muatan didalamnya. Muatan yang semakin bertambah dari hari kehari.Muatan baik dari bentuk insan mahupun pembangunan. Jadi tidak adil untuk terus menerus menyalahkan pihak Felda sekiranya terkhilaf menguruskan hal-hal sakit pening para peneroka. Ingatlah Felda bukan dibina dengan omongan kosong tetapi atas dasar kepintaran pemimpin terdahulu yang mahukan bangsanya berdiri atas kakinya sendiri.